10.5.15

PERJALANAN TEAM KUNJUNG KASIH FASA 1 KE SK TANJUNG BUAI

Bismillahirrahmannirrahim.. Bila si manis menulis (^_^)

Asalamualaikum kepada semua pembaca blog cikgu. Harap semua sihat-sihat dan berada di bawah lindungan dan rahmat Allah.

Hari ini seperti yang dijanjikan saya akan kongsikan perjalanan fasa 1 Team Kunjung Kasih kami. Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi fasa 1 kami berjalan seperti yang dirancang. Ikuti rentetan perjalanan kami ya.

29 APRIL 2015

Pada jam 6.00 petang, kak liza, kak Aya dan kak Ina sampai ke rumah milik khairil di Bandar Mas. Untung ada kawan yang ada homestay ni. Boleh menumpang.Sesampai sahaja di rumah, elektrik pula takda. Ditambah dengan musim panas. memang berbahang. Rumah saya tak jauh dari rumah Khairil. Niat dihati nak buatkan jemput-jemput udang buat rakan-rakan. Baru pusingan pertama lampu dah padam!  Kami bincang untuk keluar ke Bandar Penawar selepas maghrib.

Lepas maghrib kami menaiki kereta kak liza ke Bandar Penawar. Dalam kereta kami sempat bincang anggaran hadiah untuk murid, dan ibu bapa. Untuk makluman kami keluarkan kos sendiri untuk program ini. Niat kami ikhlas ya!

Memula kami ke kedai RM2 mencari barang-barang untuk laksana modul. Saya beli riben, kertas mahjong, marker, benang, belon dan sedikit gula-gula. Rakan lain semua beli keperluan masing-masing ikut modul mereka.

Hadiah-hadiah yang besar masing-masing dah beli awal. Ada yang hadiahkan papan seterika, ada rak, ada juga yang hadiahkan hamper. Lepas beli barang keperluan kami ke kedai makan. Perut lapar. Sambil makan sempat lagi kami bincang nak tukar idea ice breaking dan pembahagian tugas.

Sampai dirumah khairil kami kumpul barang-barang hadiah untuk dibalut. Buat persiapan akhir, siapkan kertas-kertas untuk lekat kat hadiah, untuk tampal kat stesyen-stesyen, gosok baju dan zzzzzz..


30 APRIL 2015

Seawal jam 5.30 semua sudah bangun dengan semangat membara.Cehh..hihihi.. Lepas mandi, solat siap-siapkan diri, masuk barang dalam kereta kami pun bergerak ke SK Tanjung Buai. Encik Roslan dah tunggu kami di jalan masuk ke Telok Sengat. kami bergerak sama. Masuk Telok Sengat, belok kiri terus sahaja. Emmm kami semua tak pernah masuk kecuali khairil. Jauh, memang jauh. lalu kebun, jalan ada yang gaung ditepinya. Kalau drive malam kena hati-hati sebab takda lampu jalan. Ada sesetengah laluan yang agak bahaya, laluan kecil hanya muat 1 kenderaan jadinya kalau berpapasan dengan 2 kenderaan kena pandai-pandai lah ya dan kena bawa kereta perlahan.
Laluan kami jauh
kecik aja jalannya

Masuk Kampung Tanjung Buai ni rumah-rumahnya jauh-jauh. Satu-satu.nak sampai sekolah dah nampak laut dan jeti. Sekolah ni tepi laut saja. Jam 7.50 kami sampai ke SK Tanjung Buai.Kami disambut oleh pentadbir dan guru-guru. Ada 9 guru di sekolah tu. Dan 18 orang murid. Tak silap darjah 4 saja yang tak ada murid.
Eh, dah sampai lah

Kami disambut dengan mesra. Kami memang sengaja kosongkan perut sebab Guru Besar sekolah tu dah wassup PPD maklumkan pada kami jangan sarapan. Suruh sarapan disekolah mereka saja. Sarapan kami sedap. Sambal udang besar! almaklumlah sekolah tepi laut. hihihih.. Kami sempat ambil gambar bersama pentadbir, guru-guru dan staf sekolah.
Nampak tak laut tu. Belakang sekolah saja.

Kami bersama barisan pentadbir, guru dan staf. YDP PIBG pun ada

Selesai sarapan kami terus keluarkan barang-barang untuk bawa ke dewan. Murid seramai 18 orang sudah sedia menunggu kami duduk dengan sopan didalam dewan. Tugasan kami pun bermula. Masing-masing sudah tahu tugas masing-masing.

Kak liza terus memulakan ice breaking bersama murid. Saya pula mencari tempat yang sesuai untuk dibuat stesyen. Ada 5 Stesyen yang saya perlu cari. Lokasi pula mesti sesuai dengan modul yang rakan-rakan buat. Dah dapat cari sekitar kawasan sekolah, Saya tampal kertas mengikut stesyen 1 hingga 5. Dah siap, saya kembali ke dewan membantu rakan lain laksana ice breaking. Slot ice breaking lama juga dari jam 8.30 hingga jam 10.00. Dalam ice breaking kami masukkan aktiviti yang boleh jalinkan KELEKITAN antara murid bersama kami agar sepanjang hari ini mereka tidak malu, tidak segan dan bersedia membuka diri mereka. Itu pentingnya ice breaking yang berkesan!

Takde pula video nak tunjuk antara ice breaking yang kami buat.

KONJI KONJI CHA CHA
JEM JEM CHA CHA
TORE TORE CHA CHA

KONJI CHA
JEM CHA
TORE CHA

KONJI JEM TORE CHA CHA CHA


Itu antara ice breaking yang buat murid-murid berjaya membuang malu, segan dan sudah mula berlaku soal jawab bersama fasi-fasi. Masa ini pembahagian kumpulan dah dibuat. Ada 5 kumpulan.

Jam 10.30 murid kembali berkumpul didewan dan kami semua sudah bersedia untuk memulakan modul. Setiap kumpulan diberi duit sebanyak RM200. Setiap stesyen yang mereka lalui mereka akan dapat duit dari fasi tapi itu berdasarkan prestasi kumpulan.
Ni duit yang kami guna. 

Kami mengikut stesyen yang diberi:

STESYEN 1
-MOVE IT (KAK ZARINA)


STESYEN 2
-NILAI CINTAMU (AZWANA)


STESYEN 3
-SAKITNYA KU DI SINI (KHAIRIL)


STESYEN 4
-ASALAMUALAIKUM DUNIA KERJAYA (KAK ROHAYA)


STESYEN 5
-FAST N FURIOUS (JIJAH)


Murid akan bergerak mengikut kumpulan. Kak Liza akan meniup wisel tanda semua kumpulan perlu bergerak ke stesyen seterusnya. Selesai setiap stesyen mereka akan dapatkan tandatangan fasi dan fasi akan beri duit berdasarkan pencapaian mereka dalam laksanakan modul.Ada fasi yang bagi RM50 saja. Ada yang bagi RM200!. Ok lupa nak bagitahu limit bagi duit untuk satu kumpulan ialah RM200.

Setelah tamat masa murid masuk ke dewan semula. Setiap kumpulan melaporkan jumlah duit yang mereka ada. Paling banyak RM1100! Sepanjang aktiviti ini kami memerhati juga murid-murid untuk dianugerahkan peserta terbaik lelaki dan perempuan.

Pada jam 12.00 tengah hari bermula pula ceramah keibubapaan yang disampaikan oleh k.liza. Guru-guru SK Tanjung Buai turut sama berada di dewan untuk berkongsi ilmu. Nak dikatakan semua ibu bapa 18 orang murid hadir. Sukanya kami!

Tepat jam 1.00 petang majlis berakhir. Kami hadiahkan sebanyak 7 hadiah untuk cabutan bertuah bagi ibu bapa dan hadiah bagi semua kumpulan. Murid lelaki terbaik diberikan kepada ketua pengawas lelaki tahun 6. Lupa pula nama dan yang perempuan pula murid tahun 1. Cerdik budaknya, peramah. Oh ya! kami juga hadiahkan sekolah itu dengan sebuah rak. Sebenarnya kami terlupa untuk maklumkan pada PPD sama ada PPD ada sediakan penghargaan atau tidak, jadinya pada malam tidur di rumah khairil tu baru kami teringat. Jadi hadiah rak yang lebih tu kami hadiahkan untuk kegunaan sekolah.

Kami selesai pada jam 2.00 petang. Alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang kami rancang. Moga jalinan ini dapat dikekalkan antara kami dan semangat kami untuk bantu anak-anak di SKM menerima perkhidmatan bimbingan seakin terus membara.

Nantikan kami di Fasa 2 ya!

Tiada ulasan:

Catat Komen